| . |
Perbadanan
Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) bermula dengan nama
Perpustakaan Umum Carnegie yang ditubuhkan pada 1938 hasil
bantuan sebanyak 1,000.00 paun sterling dari Yayasan Carnegie
di New York dan RM2,500.00 dari kerajaan negeri. Bangunannya
terletak di Jalan Doktor, Kota Bharu. Ahli Jawatankuasa
yang dipilih pada waktu itu terdiri daripada Mr. A.C.Baker
;penasihat British, Mr.Gordon Hal, Mr.C.Crae dan YM Tengku
Mahyiddeen. Bantuan sebanyak RM1,000.00 setahun diterima
dari kerajaan negeri dari tahun 1939 - 1946. Walau bagaimanapun
antara 1947 - 1949, pihak perpustakaan hanya menerima
sebanyak RM500.00 dari kerajaan negeri sebagai bantuan
tahunan.
Mulai
tahun 1963, langkah-langkah pemulihan mula dijalankan
dengan peruntukan tahunan sebanyak RM2,500.00 untuk perbelanjaan
pengurusan dan pembelian bahan-bahan bacaan perpustakaan.
Manakala pada 1964, peruntukan telah bertambah kepada
RM5,000.00 . Mulai 1hb.Januari 1965, pentadbiran perpustakaan
telah diambil alih oleh Jumaah Amanah Perustakaan Umum
Carnegie. Hasil usaha Ahli Jumaah, perpustakaan ini mula
dibuka kepada umum pada 1hb. Julai 1967.
Dengan
berkuatkuasa Enakmen No.14 Tahun 1973, Perpustakaan Umum
Carnegie mula dikenali sebagai Perbadanan Perpustakaan
Awam Kelantan. Pada masa itu, perpustakaan hanya dikendalikan
oleh 3 orang kakitangan sahaja iaitu 2 kerani rendah dan
seorang pelayan pejabat. Sehingga 1978, sumbangan dari
kerajaan negeri adalah sebanyak RM5,000.00 setahun. Walau
bagaimanapun peruntukan tahunan ditambah mulai 1979 -
1982 iaitu RM35,000.00 setahun dan kakitangan juga bertambah
kepada 6 orang.
Dalam
Rancangan Malaysia KeTiga, Kerajaan Persekutuan telah
meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk pembinaan
bangunan baru. Bangunan setinggi 3 tingkat dengan keluasan
31,000 kaki persegi diatas tapak seluas 1.13 ekar ini
tersergam di Jalan Mahmod, Kota Bharu. Urusan pembinaan
dimulakan pada April 1981 dan siap sepenuhnya pada Oktober,
1982 dengan belanja yang meningkat hampir RM4 juta. Mulai
15hb. Februari, 1983 perpustakaan ini dibuka kepada orang
ramai dan dirasmikan oleh KeBawah Duli Yang Maha Mulia
Al-Sultan Kelantan pada 1hb. April, 1983.
|